Sunday, December 7, 2014

Minang di Bukit Tinggi



TIDAK hairanlah jika ramai rakyat negara ini menjadikan Bukit Tinggi antara destinasi yang wajib dilawati setiap kali berkunjung ke wilayah Sumatera Barat, Indonesia kerana ia menawarkan pelbagai produk tekstil pada harga yang murah.
Kampung Pandai Sikek di Padang Panjang, Kabupaten Tanah Datar terletak kira-kira 8 kilometer (km)dari Bukit Tinggi sangat terkenal dalam kalangan pelancong, terutama dari Malaysia kerana tenunan dan sulaman tangan berkualiti tinggi.
Pandai Sikek bermaksud pandai menenun dan di sini terdapat lima penduduk yang menjadi pengusaha dan penjual barangan tenunan serta sulaman seperti sampin, telekung, jubah dan beg tangan.
Pengusaha butik Satu Karya, Hajah Erma Yulnita berkata, premisnya turut menjadi tumpuan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri-isteri pembesar negara kita.
Setiap hari, ada sahaja pelancong dari Malaysia yang berkunjung ke sana termasuk bakal pengantin untuk membeli atau membuat tempahan songket dan lain-lain keperluan untuk menjadi raja sehari.
“Terdapat pelbagai jenis songket yang dijual antara RM400 dan RM1,500 bergantung kepada kualiti dan sampin penuh berkualiti tinggi mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan.
“Walaupun corak songket di sini berbeza coraknya dengan di Malaysia, ramai yang membeli kerana kualitinya tinggi dan lebih murah harganya,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam membuat songket.
Sementara itu, Ketua Unit Pemasaran dan Penerangan, Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Wilayah Sumatera Barat, Nazirwan Rusli berkata, Sumatera Barat kaya dengan alam semula jadi yang masih terpelihara.
Sumatera Barat memiliki banyak destinasi menarik untuk dikunjungi dan menyediakan pelbagai jenis produk pelancongan yang mampu menggamit kedatangan pelancong khususnya dari Malaysia sepanjang tahun.
Bukit Tinggi dan Padang adalah antara dua destinasi yang menjadi tumpuan rakyat negara ini untuk melancong sambil membeli-belah.
Destinasi seperti Rumah Gadang di Padang Panjang, pusat menghasilkan barangan tenunan dan kulit di Padang Panjang, Pasar Atas Jam Gadang, kubu Belanda Fort de Kock, Tasik Maninjau dan Lubang Jepun di Bukit Tinggi. Selain itu, Pantai Malim Kundang di Padang dan Istana Pagar Ruyung di Batu Sangkar turut terkenal dalam kalangan pelawat dari negara ini.
Namun, terdapat beberapa lagi destinasi yang menarik untuk dikunjungi, antaranya, makam orang yang pertama menyebarkan agama Islam di Minangkabau, Sheikh Burhanudin Ulakan, perusahaan membuat sulaman di Padang Pariaman. Jika bernasib baik, pelancong boleh melakukan aktiviti melepaskan anak penyu serta melihat penyu bertelur di Pariaman.
Selain itu, terdapat lokasi menarik seperti sembilan air terjun setinggi lebih 130 meter di tebing gunung sepanjang 8km di Lembah Harau, muzium arang batu peninggalan Belanda di Sawahlunto dan perkampungan adat di Sijunjung.
Nazirwan berkata, pihaknya berusaha memperkenalkan pelbagai destinasi dan produk pelancongan baharu bagi menarik lebih ramai pelancong ke wilayah yang terkenal dengan budaya dan adat Minangkabau itu.
Festival Serambi Mekah, lumba basikal Tour de Singkarak, lumba lembu atau pacu jawi dan aktiviti melepaskan anak penyu ke laut di Pusat Konservasi Penyu di Pariaman dan melihat penyu bertelur di Pulau Kasiak turut berpotensi menarik ramai pelancong.
Program melepaskan anak penyu dan melihat penyu bertelur anjuran Unit Perlaksana Teknis Konservasi Penyu, Dinas Kelautan dan Perikanan Kota Pariaman berjaya menarik kehadiran pelancong dari lebih 15 buah negara.
“Pelancong boleh merasai sendiri pengalaman melepaskan anak-anak penyu dan menginap dalam khemah di Pulau Kasiak untuk melihat penyu mendarat serta bertelur pada waktu malam.
“Mereka akan dikenakan bayaran dengan kadar minimum termasuk makan, minum dan tambang bot untuk ke pulau yang terletak kira-kira 5km dari pantai Pariaman,” katanya.
Selain itu, air terjun di Taman Negara di Lembah Harau adalah tarikan terbaharu bagi pelancong yang ingin menikmati keindahan alam yang masih belum tercemar tetapi jangan lupa mencabar diri dengan sukan lasak seperti memanjat dinding.
Lembah Harau dikelilingi tebing batu sepanjang lapan kilometer berusia antara 30 dan 40 juta tahun dengan ketinggian antara 100 dan 150 meter menyediakan pemandangan yang sangat unik.
Di samping menyaksikan air yang mencurah turun tanpa henti, pengunjung akan dihiburkan dengan bunyian suara siamang yang sahut-menyahut bergayut di hujung dahan di puncak tebing menyambut kedatangan pengunjung.
“Menurut cerita lagenda, Lembah Harau dahulunya ialah dasar laut dan kajian yang dilakukan oleh ahli geologi dari German pada tahun 1980 mendapati batu-batan yang terdapat di situ sama dengan yang terdapat di dasar laut,” katanya.
Nazirwan berkata, selepas mengunjungi Lembah Harau, pelancong boleh terus berkunjung ke Batu Sangkar untuk melihat istana Pagar Ruyung dan muzium lombong arang batu peninggalan Belanda di Sawahlunto.
Di muzium berkenaan, pelawat berpeluang menyaksikan barangan peninggalan penjajah yang digunakan untuk melombong selain peralatan memasak makanan kepada 6,000 orang buruh paksa dan kontrak setiap hari.
Terdapat sebuah pintu masuk ke lombong arang baru di tengah pekan Sawahlunto yang telah dibaiki dan dibuka kepada pelancong pada tahun 2007 bagi memberi peluang kepada pelancong menyaksikan sendiri keadaan di dalam lombong berkenaan.
Selain itu, pelancong boleh berkunjung ke perkampungan adat di Sijunjung, kira-kira dua jam perjalanan dari Bukit Tinggi dan satu jam dari Sawahlunto untuk melihat rumah tradisi masyarakat Minangkabau.
Di perkampungan berkenaan terdapat 46 buah rumah Gadang adalah satu-satunya penempatan masyarakat Minangkabau yang dibina pada abad ke-14 yang masih kekal hingga ke hari ini.
Di sana, pelancong dapat menyaksikan Rumah Gadang yang masih dihuni oleh suku Bodi Caniago, Malayu, Panai, Tobo, Malayu Tak Timbago dan Piliang. Mereka adalah sebahagian daripada 96 suku yang terdapat di Tanah Minang.
Beliau berkata, terdapat banyak lagi lokasi menarik yang boleh dikunjungi seperti Danau Singkarak yang merupakan tasik kedua terbesar di Sumatera selepas Danau Toba di Medan, Danau Maninjau dan rumah ulama terkenal Buya Hamka.
Sementara itu, Pengurus Fast Travel, Salbiah Mehad yang ditemui berkata, beliau kerap membawa pelancong ke Padang dan Bukit Tinggi tetapi tidak pernah berkunjung ke Lembah Harau dan perkampungan masyarakat Minangkabau di Sijunjung.
“Saya bersama anak, Amellia Rasida Muhamad Afandi datang ke sini untuk melihat destinasi pelancongan yang belum pernah kami kunjungi dan berpotensi untuk diperkenalkan kepada pelanggan, termasuk aktiviti melepaskan anak penyu di Pantai Apar.
“Hasil muat naik gambar ke laman Facebook, saya mendapat maklum balas yang sangat baik daripada rakan dan pelanggan, terutama mereka yang gemarkan aktiviti melancong bercorak ekopelancongan,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_02.htm#ixzz3MQIvHqWt 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment